Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai jenama telefon pintar berlumba-lumba menawarkan sokongan kemaskini Operating System (OS), software dan security untuk tempoh lebih daripada 5 tahun. Samsung, Apple, vivo, Google Pixel, dan beberapa jenama lain menggunakan perkara yang sama sebagai selling point utama untuk menarik perhatian pengguna.
Di atas kertas, penawaran ini bunyi seperti satu perkara yang sangat baik. Namun secara peribadi, saya mula bertanya, berapa ramai sebenarnya yang betul-betul menggunakan telefon pintar untuk tempoh lebih daripada 5 tahun?
Realiti yang Kita Mungkin Terlepas Pandang

Ada beberapa hakikat yang jarang dibincangkan secara terbuka. Adakah majoriti pengguna akan menggunakan telefon pintar yang sama untuk satu tempoh yang panjang? Pada pendapat saya, kebanyakan pengguna akan menukar telefon mereka dalam jangka masa 2 hingga 3 tahun. Malah, ada juga yang akan menukar lebih awal disebabkan atas beberapa faktor. Contohnya, hayat bateri semakin berkurang, storan yang sudah penuh, prestasi sudah mula perlahan dan fungsi kamera yang sudah ketinggalan. Ini adalah sebab-sebab paling biasa kenapa seseorang menukar telefon, bukan kerana tempoh penawaran kemaskini sudah tamat.
Kemaskini Masih Penting, Tapi Ia Bukan Penyelesaian Segala Masalah
Tidak dinafikan, kemaskini OS dan security amat penting bagi pengguna telefon pintar, terutamanya dalam melindungi peranti daripada pepijat, ancaman keselamatan dan memastikan peranti terus menerima fungsi-fungsi yang terkini. Namun, secara realitinya, kemaskini tersebut bukanlah membantu peranti untuk upgrade cip lama, baiki bateri yang sudah haus atau tambah saiz RAM mahupun storan. Lebih membimbangkan, kemaskini yang akan datang selalunya memerlukan RAM, storan atau cip pemprosesan yang lebih berkuasa. Akibatnya, telefon pintar masih lagi menerima sokongan kemaskini OS dan security terkini, namun pengalaman penggunaan juga mungkin boleh jadi satu penyeksaan.
Kenapa Brand Berani Janjikan Kemaskini Panjang?

Ini mungkin pandangan saya sahaja, sebagai pengguna telefon pintar yang casual. Saya melihat kemaskini jangka panjang sebagai senjata marketing paling murah, namun efektif dan nampak seakan mesra pengguna. Perkara ini juga boleh menjadi alasan kenapa harga telefon lebih tinggi. Bagi pengguna biasa, ia mungkin lebih kepada rasa selamat dan beranggapan telefon tersebut “future-proof“, tapi adakah realiti sepenuhnya begitu?
Tidak Semua Telefon Pintar Mendapat Manfaat yang Sama

Pendapat ini mungkin kelihatan berat sebelah, tetapi saya tidak menentang sepenuhnya penawaran kemaskini untuk tempoh panjang. Namun, saya lebih merasakan kemaskini OS dan security kurang adil, terutamanya bagi peranti bajet, entry-level atau bukan flagship. Kebanyakan peranti dalam kategori ini mungkin menggunakan cip yang lama atau sederhana, hadir dengan RAM yang terhad atau storan yang kecil. Walaupun peranti ini menerima kemaskini lebih daripada 5 tahun, hardware selalunya akan give up dulu. Isu ini mungkin kurang dirasai oleh pengguna yang menggunakan telefon spesifikasi flagship, dan pengalaman penggunaan itu mungkin akan merosot secara lewat.
Kesimpulan
Jadi, adakah kita benar-benar memerlukan kemaskini OS dan security untuk tempoh yang panjang? Jawapan saya, TIDAK SEMESTINYA. Malah, saya masih berpendapat semuanya bergantung kepada pengguna itu sendiri, berapa lama tempoh pengguna akan menggunakan telefon pintar sebelum ganti yang baharu, bagaimana corak penggunaan harian pengguna, dan sebab sebenar pengguna menukar telefon yang baharu. Kemaskini OS dan security bukanlah sesuatu yang buruk, tetapi ia juga bukan jalan penyelesaian kepada semua masalah, malah ia hanya sekadar satu bonus bagi sesebuah peranti.

Leave a Reply