, ,

Aplikasi Pilihan Sepanjang Ramadan 2026

IMG

Ramadan adalah bulan bagi umat Islam menahan diri daripada lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari, disertakan dengan niat. Namun puasa bukan sahaja sekadar ibadah, ia juga masa untuk umat Islam reset rutin harian mereka menjadi lebih baik.

Zaman sekarang banyak aplikasi telah dibangunkan untuk kegunaan umat Islam, termasuk juga pembangun dari Malaysia sendiri. Berikut ialah senarai aplikasi yang boleh membantu anda untuk menjalani ibadah puasa dengan lebih lancar sepanjang Ramadan.

goSolat

goSolat antara aplikasi yang telah mendapat perhatian pengguna di Malaysia. Aplikasi ini telah berada di carta teratas Apple App Store, walaupun baru beberapa hari sahaja dilancarkan. Apa yang menariknya, reka bentuk aplikasi ini lebih mesra pengguna dan interaktif. Pengguna boleh mendapatkan fungsi asas seperti arah kiblat dan waktu solat. Fungsi tambahan yang menarik adalah checklist untuk solat, qada, puasa dan zikir secara harian. Aplikasi ini juga membantu pengguna untuk mengira jumlah solat atau puasa yang tertinggal. Aplikasi ini telah dibangunkan oleh pembangun Malaysia, dan sesuai untuk mereka yang mahu lebih sistematik dalam ibadah harian.

Qalby

Qalby adalah antara aplikasi yang saya gunakan hampir tiga tahun sebagai notifikasi solat. Aplikasi ini bukan sahaja memaparkan waktu solat, tetapi juga menyertakan kandungan seperti koleksi doa dan zikir, bacaan surah, carian hadis dan yang paling menarik menawarkan kandungan berbentuk tazkirah, podcast dan motivasi. Antara fungsi yang menarik lagi adalah pengguna boleh memilih audio azan daripada beberapa pilihan bilal yang tersedia. Namun sepanjang penggunaan saya, aplikasi ini kadangkala ada sedikit lengah masa atau lag, namun tidak menjejaskan pengalaman penggunaan secara keseluruhan.

Sembahyang.app

Sembahyang.app bukanlah satu aplikasi yang perlu dimuat turun, namun ia ialah aplikasi web. Menariknya, ia telah dibangunkan sendiri oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Aplikasi ini menawarkan reka bentuk yang interaktif dan warna yang menarik. Selain dari fungsi asas seperti waktu solat, pengguna boleh membuat carian surah, membuka koleksi doa dan zikir, mencari arah kiblat, semak hadis dan panduan solat. Namun begitu, ada beberapa fungsi memerlukan pengguna untuk log masuk.

MAE

MAE adalah antara aplikasi popular untuk pengguna membayar zakat fitrah secara atas talian. Pengguna boleh membuat pengiraan jumlah zakat yang perlu dibayar dan membuat bayaran secara terus. Selain itu, pengguna juga boleh membuat pembayaran zakat secara auto-debit terus melalui akaun Maybank atau MAE, tanpa perlu beratur di kaunter.

TNG eWallet

Screenshot

TNG eWallet juga menyediakan kemudahan untuk pembayaran zakat. Pengguna boleh memilih institusi zakat seperti Zakat Selangor, PPZ-MAIWP, Zakat Johor dan banyak lagi. Tambahan lagi, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi untuk membayar fidyah. Resit pembayaran zakat akan disimpan di dalam TNG eWallet untuk tujuan rebat cukai LHDN.

Grab

Grab boleh menjadi penyelamat untuk waktu sahur atau berbuka, terutamanya bila balik kerja lewat atau hujan lebat. Sudah tentunya, Grab akan menawarkan banyak promosi dan diskaun khas sepanjang bulan Ramadan. Pengguna juga boleh mendapat diskaun tambahan sekiranya mereka pesan melalui Group Order. Senarai kedai yang beroperasi sehingga lewat malam dan kekerapan penghantar (rider) juga mungkin akan meningkat sehingga waktu sahur, jadi pengguna tidak perlu risau untuk bersahur atau tak sempat masak.

foodpanda

Sebagai alternatif, foodpanda juga menawarkan diskaun bukan sahaja untuk restoran atau kedai makan, malah barangan runcit dan supermarket sepanjang bulan Ramadan. Ini memudahkan pengguna untuk membeli barangan dapur dan masak di rumah. Antara supermarket yang terlibat dengan penawaran diskaun ini ialah AEON BiG, pandamart, Village Grocer, Lotus’s dan banyak lagi, bergantung pada kawasan pengguna.

Ramadan bukan sahaja mengenai ibadah, tetapi juga disiplin, pengurusan masa dan gaya hidup yang lebih teratur. Dengan aplikasi yang betul, urusan harian akan jadi lebih mudah dan tersusun sepanjang 30 hari berpuasa. Sudah tentu masih banyak lagi aplikasi lain yang boleh digunakan sepanjang bulan Ramadan, namun ini adalah antara pilihan peribadi saya untuk Ramadan kali ini. Kepada pembaca yang beragama Islam, saya mengucapkan selamat berpuasa dan semoga puasa tahun ini menjadi puasa yang terbaik daripada tahun sebelumnya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *