, ,

Perodua Traz Dilancarkan, Harga Bermula Dari RM76,100

Trendy img 01 d 2x

Hari ini (17 Disember 2025), Perodua telah melancarkan model Sport Utility Vehicle (SUV) segmen-B terbaharu mereka, Perodua Traz. Perodua mengiklankan bahawa model ini adalah yang paling mesra pengguna, hadir dengan slogan ‘Engineered Simplicity’. Kali ini Perodua cuba membawakan pengalaman yang lebih selesa, reliable, praktikal dan affordable kepada pemandu Malaysia.

Perodua Traz hadir dengan dua varian, Traz X dengan harga bermula dari RM76,100* dan Traz H dengan harga bermula dari RM81,100*. Terdapat juga pilihan cat dwi-tona bagi varian H dengan harga bermula dari RM82,000*. Model ini akan menyertai model lain seperti Ativa dan Aruz dalam barisan SUV Perodua.

Ada 6 pilihan warna yang tersedia, iaitu Cranberry Red, Ivory White, Glittering Silver, Granite Grey, Electric Blue dengan Black Roof (hanya untuk varian H sahaja) dan Glittering Silver dengan Black Roof (hanya untuk varian H sahaja).

Traz menggunakan enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan gearbox D-CVT dan menghasilkan 105hp dan 138Nm torque. Dengan penggunaan bahan api sekitar 21.3km/l (Malaysian Driving Cycle), menjadikan ia antara kereta SUV yang paling jimat minyak di pasaran Malaysia.

Dari segi luaran, Traz dilengkapi dengan tayar aloi 17 inci yang memberikan penampilan yang sporty. Lampu hadapan dan lampu belakang menggunakan teknologi LED yang lebih terang. Ada lampu kabus LED juga tetapi ia hanya disertakan untuk varian H sahaja. Side skirting turut disertakan untuk kedua-dua varian menjadikan kereta ini nampak lebih agresif dan elegan. Apa yang menarik, varian H hadir dengan powered tailgate bersama kick sensor untuk memudahkan pemandu membuka but belakang hanya dengan menggunakan kaki.

Bahagian interior dalaman pula menyertakan paparan maklumat berukuran 9 inci yang juga menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Terdapat juga paparan TFT 4.2 inci untuk meter cluster yang menampilkan maklumat pemanduan dengan jelas. Terdapat juga 3 port USB Type-C dan 1 port USB Type-A yang boleh digunakan untuk mengecas peranti. Sistem audio 6 speaker dan fungsi automatic air-conditioner hanya hadir bagi varian H sahaja.

Traz turut dilengkapi dengan sistem keselamatan terkini. Dilengkapi dengan Perodua Smart Drive Assist, sistem keselamatan ini memberi tumpuan kepada tiga kategori utama, iaitu Advanced Safety Assist (ASA), Driving Assist dan Parking Assist.

Antara ciri keselamatan menarik yang disertakan ialah brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, kamera parkir dengan paparan bersudut 360 darjah, serta sensor bucu hadapan dan belakang kereta untuk elakkan perlanggaran.

Dengan harga bermula dari RM76,100, Perodua Traz menawarkan pakej yang berbaloi untuk pemandu atau keluarga yang sedang mencari kereta dalam kategori SUV yang praktikal, jimat dari segi penggunaan minyak, tetapi masih ada sentuhan yang elegan. Traz membuktikan komitmen Perodua untuk terus memberikan pilihan kenderaan berkualiti dengan harga yang berpatutan untuk rakyat Malaysia.

*Harga yang disertakan adalah harga on-the-road tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia.

Sumber: Perodua

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *